18 Cara Memikat Hati Suami


1. Akur pada suami

Sentiasa jujur, ikhlas dan taat pada suami.

2. Berkelakuan baik terhadap suami

Jangan menyakiti hati suami dengan tingkah laku, bahasa ataupun tindakan. Sebaliknya, menjadi isteri yang 'melegakan' setiap kali suami pulang ke rumah. Jangan sampai suami menderita makan hati dalam diam. Sifat yang harus dielak ialah berleter dan bermasam muka.

3. Jangan bebankan suami

Ada isteri terlalu 'demand', meminta itu dan ini sehingga suami pening kepala untuk memenuhi kehendak dan impian isteri. Jangan sampai suami terpaksa menerima rasuah atau salah guna kuasa semata-mata ingin memenuhi permintaan isteri.

4. Sentiasa bersolek untuk suami

Ramai isteri tidak suka bersolek di rumah malah ada yang kelihatan selekeh. Ada isteri yang merasakan mereka sudah tua dan tidak perlu bersolek hatta mengenakan sedikit gincu untuk kelihatan cantik di mata suami. Sedangkan menjadi fitrah lelaki sukakan kecantikan terutama melihat seorang wanita yang menawan. Walaupun suami tidak pernah bersungut tetapi hakikatnya mereka suka melihat jika isteri bersolek seadanya agar sentiasa kelihatan manis dan menarik. Sebolehnya, ubah imej mengikut citarasa suami.

5. Jangan suka sanggah dan menolak permintaan suami

Jangan biar malaikat melaknat isteri yang menderhaka atau sering menyanggah cakap suami.

6. Sentiasa mengingatkan dan berpesan pada suami

Ingatkan suami dan berpesan dalam apa jua perkara.

7. Perlu ada rasa takut dan hormat pada suami

Ia dapat elak daripada buat perkara tidak baik.

8. Jangan membelakangkan suami

Mesti minta izin suami terlebih dahulu walaupun tahu suami tidak marah. Ia sebagai cara menghormati suami. Biarpun perkara kecil, setiap isteri perlu menjaga hati suami.

9. Jaga harta suami

Ia adalah amanah kepada setiap isteri dan jangan sesekali menyalah guna ataupun menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

10. Isteri kena minta maaf segera jika buat salah / menderhaka pada suami

Jadikan ia amalan biasa dan jangan sesekali lengahkan, buat tidak tahu ataupun tunggu Hari Raya untuk minta maaf. Sesungguhnya isteri sebegini sentiasa dilaknat para malaikat.

11. Solat bersama suami

Jangan hanya tunggu apabila ada masalah, sebaliknya jadikan ia amalan harian untuk merapatkan hubungan dan mengelakkan menderhaka kepada suami.

12. Jangan perkecilkan pemberian suami biarpun tidak seberapa

Sebaliknya kena berterima kasih dan hormati diri nya sebagai suami terutama bagi isteri yang berkedudukan dan berkerjaya tinggi.

13. Perlu bermuka manis dan senyum pada suami

Isteri sedemikian akan dimuliakan di akhirat.

14. Pandang muka suami bila bercakap

Lihat dan tenung dengan penuh kasih sayang. Ia lebih dekat di hati. Bukan bercakap membelakangkan atau sambil buat kerja.

15. Jangan bawa virus barah (pergaduhan) dalam rumah tangga

Jangan biar suami berubah hati dan mencari wanita lain. Awas! punca suami kahwin lain ialah kerana ada benda yang tidak ada pada isteri.

16. Jangan terlalu kongkong suami

Beri kebebasan dengan batasan yang wajar. Jangan kerana terlalu prasangka sampai asyik telefon bertanya suami di mana, sentiasa bertekak, check telefon suami hingga suami tiada privasi.

17. Urut badan suami selepas balik kerja

Walaupun penat tetapi satu-satunya cara memikat suami ialah dengan memberi sentuhan pada suami.

18. Jaga makan minum suami

Guna ayat-ayat al-Quran dan bukannya bomoh untuk menambat hati suami. Ingatlah doa adalah lebih mujarab. Hulurkan segelas air setiap kali suami pulang dari kerja.

Resepi Wanita Solehah


“Innalillahi wa innalillahi rajiun… kepada Allah kita datang kepadaNya kita kembali… “
Cerita berlaku di dalam sebuah bas, yang hendak menuju ke suatu tempat yang sangat jauh.. saat itu musim panas.. Salah seorang penumpang itu adalah seorang wanita yang sangat cantik, muda dan bergaya. Penampilannya yang anggun dan bergaya itu menarik perhatian penumpang-penumpang lain dalam bas. Apabila wanita itu mula duduk di tempatnya, dia ditegur oleh seorang lelaki tua, dengan sopan berkata

“Wahai anak muda maafkan pakcik yang ingin menegur penampilan anak, pakcik rasa pakaian anak ini tidak sepatutnya dipakai kerana melanggar hukum agama dan mungkin akan mengakibatkan sesuatu yang tidak baik terjadi pada diri anak sendiri..” wanita itu terkejut dan berasa amat marah lalu berkata dengan lantangnya “berpakaian adalah HAK SAYA dan pakcik telah mengganggu keselesaan saya” pakcik tadi terdiam seketika kemudian wanita itu berteriak lagi “jika memang pakcik mahu, ambil pensel ini, tempah dan tuliskan untuk saya, tempatkan saya di NERAKA TUHAN pakcik”beristighfar pakcik dan sebahagian penumpang-penumpang dalam bas tersebut.

Selepas beberapa jam, suasana kembali sepi, bas akhirnya sampai ke destinasi, terlihat seorang penumpang akan wanita muda tadi yang begitu lena dalam marahnya sebentar tadi.. “Cik, bas sudah berhenti” panggilan itu tidak diendahkan, lalu dikejutkan lagi berulang kali namun reaksinya sama, tiada berbalas.. setelah diperiksa denyutan nadinya, ternyata wanita itu telah kembali kepada Allah dan ternyata dia meninggal dalam keadaan menentang Allah.. moga Allah merahmati rohnya insha Allah ameen..



Kisah sebentar tadi adalah situasi wanita islam yang tidak menjaga peribadinya yang sememangnya mulia di sisi agama itu sendiri, WANITA ITU AURAT, WANITA ITU FITNAH.

“Aku melihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti ini, kerana ada pemandangan yang dasyat di dalamnya. Telah aku saksikan ahli neraka adalah kaum wanita” Rasulullah ditanya mengapa kaum wanita itu ramai di dalam neraka? “Ini kerana wanita itu mengkufurkan suaminya, dan mengkufurkan ihsannya, jika engkau berbuat baik sebanyak mana pun, dia masih tetap belum berpuas hati. (Riwayat Bukhari)

Maksudnya di sini, kita ketahui yang wanita adalah golongan yang beremosi, mudah mengatakan sesuatu tanpa berfikir secara baiknya terlebih dahulu, tidak sabar dalam menghadapi sesuatu kesusahan dan kesakitan, contohnya dalam menguruskan rumah tangga, melayan suami, mendidik anak-anak dan sebagainya, akibat ketidaksabaran ini mungkin akan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dan merungut serta tidak bersyukur, jadi tanpa sedar, sikap yang ada dalam diri kita ini, menjadikan dan memungkinkan kita tergolong dalam golongan di atas.

“Apabila seorang wanita telah menunaikan solat lima waktu, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, memelihara diri dan kehormatannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu syurga yang dikendakinya” (Riwayat Tabrani)

Jadi jelas dalam hadis di atas, mudah sahaja syarat kita sebagai wanita untuk masuk ke syurga.. ya mudah, namun kerana emosi yang sentiasa bersangka buruk, merungut, dan berkata yang perkara yang buruk dan bukan-bukan, menjauhkan kita daripada memasuki syurga illahi. Di dalam hadis tersebut juga dinyatakan tentang syarat-syarat yang akan menjamin seseorang wanita itu untuk masuk ke syurga :-

1) Menunaikan solat lima waktu.

Rasulullah pernah di tanya oleh Abdullah bin Mas’ud “Wahai Rasulullah apakah amalan yang paling utama? Baginda menjawab “solat pada waktunya”" jadi istilah menunaikan solat ini bukanlah hanya berjaya melakukan solat lima waktu itu sahaja, tetapi turut menetapi waktu solat, iaitu solat pada waktu dan tidak melengahkannya dengan sengaja.

2) Mengerjakan puasa di bulan Ramadhan.

Berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan nafsu. Nafsu dari segi berkata bukan-bukan, bersangka buruk, dan sebagainya “Apabila kamu berpuasa, pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu juga turut berpuasa daripada yang haram, jauhilah daripada perbuatan menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal, usah biarkan hari berpuasa dan tidak berpuasa adalah sama (Riwayat Bukhari)

3) Memelihara kehormatan diri.

Kehormatan diri di sini adalah dari aspek aurat dan pergaulan. Bagaimana aurat itu boleh menjadi fitnah dalam pergaulan? Umum mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib, seperti dalam firman Allah Surah Al-Ahzab “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ” (33:59) . Juga dalam surah yang sama “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)” (33:32)

Namun menutup aurat luaran sahaja belum mencukupi syarat menutup aurat, seringkali kita lihat, wanita-wanita menjadi kes gangguan seksual lelaki, sedangkan mereka bertudung atau boleh kita katakan dia sudah menutup auratnya, namun, adakah dia telah benar menutup auratnya???

Berdasarkan surah An-Nuur “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya” (24:31)

Berdasarkan dua surah di atas, saya highlight kan beberapa perkara penting dalam menjaga kehormatan diri, aurat dan bagaimana ia boleh mengelakkan fitnah :

  • Melabuhkan pakaian menutup keseluruhan tubuh badan semasa keluar rumah kecuali yang zahir iaitu muka dan tapak tangan, selain daripada itu, ia di kira aurat.
  • Berkata dengan kata-kata yang baik dan bukan dengan cara menggoda yang boleh menimbulkan syahwat dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan.
  • Menyekat pandangan daripada memandang yang haram.
  • Tidak memperlihatkan perhiasan dan aurat kecuali pada yang mahram. Mahram adalah yang haram untuk di nikahi selama-lamanya.
Point terakhir adalah mentaati suami, ini buat wanita-wanita yang telah bernikah, harus diingatkan, sesudah ijab kabul berlaku, tanggungjawab kalian telah berubah, jika dahulu, selepas mentaati perintah Allah dan Rasul, anda harus mentaati perintah ibu bapa, namun ia berubah dengan mengutamakan suami dahulu.

“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…” (4:34)

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang solehah. Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan)mu. Bila engkau perintah, ia mentaatimu. Dan bila engkau keluar meninggalkannya, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu.” (Riwayat Bukhari)

Jadi dengan menjaga solat, puasa, kehormatan diri dan mentaati suami, kita boleh pilih untuk masuk syurga melalui mana- mana pintu.. indahkan? nak atau tidak terletak dalam tangan kita. Semoga Allah mampu menjaga diri, hati dan iman kita, agar kita mampu menaikkan darjat kita daripada muslimah kepada mukminah dan solehah dunia akhirat.. ameen.. sekian perkongsiaan untuk manfaat bersama.

“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.” (Riwayat Bazzar dan At-Tirmizi)

14 Perkara Perlu Dijaga Untuk Menjadi Wanita Solehah


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan di dunia ini. Untuk menjadi wanita solehah perlulah di jaga empat belas (14)  anggota tubuh dari pandangan bukan mahramnya. Jika seorang wanita gagal  menjaga perkara-perkara tersebut maka dia gagal digelar wanita solehah.

Semoga nota ini bermanfaat untuk semua muslimah yang ingin menutup aurat dengan sempurna.


Pertama : Mencukur bulu kening.

Jumhur ulama berpendapat, hukum mencabut atau mencukur bulu kening adalah haram.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Allah melaknat wanita yang mencukur atau mencabut bulu kening atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Itu perbuatan mengubah ciptaan Allah". (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Kaki (tumit kaki) jangan dihentak-hentakkan.(untuk mengambil perhatian)

Firman Allah SWT maksudnya : "Janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.."

(Surah an-Nur ayat 31)


Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan gelang kaki adalah sama seperi di zaman arab jahiliyah.

Ketiga : Berwangi-wangian.

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya .

Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

Keempat : Menunjukkan dada.

Wanita yang memakai tudung tetapi membuka dada atau menampakkan leher mereka adalah wanita yang mempermain-mainkan hukum Allah SWT. Memakai tudung biarlah sempurna hingga menutup leher dan dada (tertutup perhiasan di dadanya)  supaya tidak menjadi tatapan lelaki yang bukan mahram.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir (muka dan tapak tangan) daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka." (Surah an-Nur ayat 31)


Kelima : Mengikir/ mengasah gigi.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Allah melaknat wanita yang mencukur atau mencabut bulu kening atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Itu perbuatan mengubah ciptaan Allah". (Hadis Riwayat Muslim)

Rasululullah SAW  melarang dan melaknat wanita yg mengikir giginya atau menjarangkan giginya untuk kecantikan. Sebagaimana hadis Nabi SAW maksudnya  " Rasulullah melaknat wanita yang menjarangkan giginya untuk kecantikan." (Hadis Riwayat  Bukhari)

Keenam : Bersolek (make-up) di muka .

Firman Allah SWT maksudnya : "Hendaklah kaum wanita tetap di rumah, dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang-orang jahiliyah dahulu".(Surah al-Ahzab (59) ayat 33)


Kebanyakkan wanita sukar untuk meninggalkan bersolek (berbedak yang tebal), bergincu bibir dan bercelak apabila keluar rumah kerana sudah kebiasaan mengikut tren masyarakat. Sebenarnya wanita solehah tidak perlu terikut-ikut dengan amalan orang bukan Islam yang 'mewajibkan' bersolek dan bermake-up dengan tujuan supaya dipandang cantik, hakikat sebenarnya kecantikan seperti ini tidak perlu mengikut pandangan Islam. Memadailah dengan bedak yang tipis untuk menghilangkan kesan minyak dimuka.

Ketujuh : Memakai pakaian dan tudung yang tipis.

Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang tipis.


Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah SAW  berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah SAW  lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Kelapan : Bersentuhan Tangan


Rasulullah SAW tidak pernah memegang tangan seorang wanita pun, baginda membaiat mereka dengan ucapan. Aisyah melanjutkan, "Demi Allah, Rasulullah SAW tidak pernah mengambil sumpah kepada kaum wanita kecuali atas apa yang diperintahkan oleh Allah, dan baginda tidak pernah menyentuh telapak seorang wanita pun, apabila baginda membai'at mereka, baginda hanya mengucapkan; "Sesungguhnya saya telah membai'at kalian." (Hadis Riwayat Muslim hadis no. 3470)

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

لأن يطعن في رأس رجل بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له

Maksudnya : “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani. Dinilai sahih oleh al-Mundziri, al-Haitsami, dan al-Albani)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata, “Pada hadis ini terdapat ancaman yang keras (tegas) kepada sesiapa sahaja yang menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram). Padanya juga terdapat dalil atas haramnya bersalaman (mushofahah) dengan wanita. Sebab itu, tidak diragukan bahawa bersalaman itu mengandungi unsur bersentuhan. Pada masa ini, umat Islam banyak diuji dengan situasi ini, dan di antara mereka adalah dari kalangan ahli ilmu. Sekiranya mereka mengingkari perkara tersebut dengan hati mereka, tentu ada sedikit kemudahan untuk menasihati mereka. Tetapi sayangnya, mereka menghalalkan perkara tersebut dengan pelbagai cara (jalan) dan takwilan (penafsiran).” (Rujuk: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 1/225)

Kesembilan : Tidak menundukkan pandangan mata.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir (muka dan tapak tangan) daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka." (Surah an-Nur ayat 31)


Sabda Nabi Muhamad SAW maksudnya : "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

Kesepuluh : Tidak menjaga suara.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Surah al-Ahzab ayat 32)


Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi" (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Mendengar wanita berbicara atau bersuara, tidaklah termasuk hal yang terlarang dalam Islam. Kecuali bila suara wanita itu dalam bentuk suara yang mendayu-dayu, mendesah atau dibuat sedemikian rupa sehingga membangkitkan nafsu berahi lelaki yang mendengarnya (seperti menyanyi dan bernasyid). Tentu saja para ulama sepakat untuk mengharamkannya. Namun bila dalam bentuk pembicaraan biasa saja di mana hal itu jauh dari fitnah dan urusan berahi, para ulama sepakat mengatakan bahawa mendengar suaranya tidak diharamkan.

Kesebelas : Kemaluan.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka."(Surah an-Nur ayat 31)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.)

Kedua belas : Pakaian ketat dan jarang.

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibnu Majah.)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu adalah haram hukumnya.

Ketiga belas : Rambut di dedahkan.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya. " (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Keempat belas : Menampakkan kaki (tidak memakai stokin)

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab (33) ayat 59)

Berdasarkan ayat di atas jelaslah wanita wajib menutup seluruh tubuh ( termasuk kaki) dan yang dibenarkan buka adalah muka dan dua tapak tangan sahaja  sehingga pergelangannya.

Di zaman moden kini tak ramai yang mahu menutup aurat sepenuhnya seperti mana yang dilandaskan oleh syarak. Mungkin ada yang beranggapan kaki bukanlah suatu yang wajib ditutup kerana ia tidak mendatangkan syahwat kepada lelaki, namun tanggapan itu jelas salah. Ada juga yang mungkin tidak mengetahui bahawa pergelangan kaki adalah termasuk daripada aurat yang wajib ditutup wanita. Zaman kini wanita beranggapan bahawa pergelangan kaki bukan lagi satu aurat walhal dalam Al-Quran telah jelas menyuruh wanita menutup aurat sepenuhnya moga dengan itu mereka akan dianggap wanita yang baik-baik dan tidak akan diganggu.

Sahabat yang dikasihi,
Wahai sahabatku mukminah solehah yang bertakwa!

Jagalah aurat kalian yang merangkumi empat belas (14) perkara yang disebutkan di atas supaya kalian menjadi mukminah solehah yang diredai oleh Allah SWT.

Kecantikan wanita solehah bukan terletak pada wajah yang cantik semata-mata tetapi kecantikannya adalah terletak pada akhlak, keperibadian, percakapan , pergaulan dan pakaian menutup aurat yang dipakainya. Kesemuanya perlu bersepadu dan akan menaikkan maqamnya di sisi Allah SWT iaitu perhiasan yang terbaik di dunia dan tidak ada balasan yang lebih baik untuknya melainkan syurga.

6 Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga


1) Kejujuran

Faktor ini adalah merupakan aspek penting di dalam sesuatu kebahagiaan hubungan rumah tangga. Pada kebiasaannya, pasangan yang berasa teraniaya atau dianiaya akan menyimpan dendam dalam setiap penipuan yang telah dilakukan. Masalah ini akan berbalas-balas sehingga menjadi punca keretakan didalam sesuatu hubungan.

2) Hormat

Semua manusia yang hidup di muka bumi ini suka apabila diri mereka dihormati. Begitu juga dalam hubungan rumah tangga, suami menghormati isteri, dan isteri pula menghormati suami. Selagi perasaan hormat-menghormati ini menebal dalam diri, pasti tiada masalah untuk sesuatu pasangan untuk mengekalkan kebahagiaan mereka.

3) Cinta

Apabila menyebut soal cinta, ia adalah satu perkara yang subjektif yang sukar untuk diterjemahkan. Cinta juga mungkin boleh disamaertikan dengan pengorbanan. Sekiranya anda betul-betul mencintai pasangan, sudah pasti anda akan sanggup untuk berkorban demi kebahagiaan mereka. Kebahagian yang pasangan anda miliki pula akan menjadi kebahagian untuk diri anda.

4) Sabar

Sifat pemarah adalah merupakan faktor utama yang menjadi punca dalam keretakan sesuatu hubungan. Anda perlu belajar untuk bersabar. Lakukan sesuatu dengan pertimbangan yang waras dan bukannya apabila dipengaruhi oleh emosi.

5) Komunikasi

Pasti anda semua menyetujui jika kami menyatakan bahawa lebih banyak mendengar adalah lebih baik berbanding lebih banyak bercakap. Berikan sepenuh perhatian apabila pasangan anda meluahkan perasaan untuk mereka merasakan diri mereka dihargai. Seseorang yang merasakan diri mereka dihargai akan tahu untuk menghargai orang lain.

6) Memahami

Apabila isteri anda seorang yang pemarah, anda perlu banyak bersabar. Bukannya anda juga turut serta untuk berasa marah. Apabila anda sudah memahami pasangan anda, ia juga bermakna anda akan mampu untuk bertolak ansur terhadap pasangan dalam apa jua situasi sekalipun. Tolak ansur juga penting dalam kebahagiaan rumah tangga.

23 Tips Rumahtangga Bahagia


1) Sering melakukan kegiatan bersama-sama seperti makan bersama, keluar berjalan berdua-duaan, beriadah dan mandi bersama.

2) Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayangakan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.

3 ) Jaga agar mulut dan badan tidak berbau agar suami sentiasa mahu berseronok dengan isteri.

4 ) Isteri yang hangat dan romantis sentiasa mengharapkan suaminya berada di rumah be
rsama-samanya.

5 ) Tukar gaya penampilan setelah beberapa ketika untuk mengelakkan jemu kepada pasangan.

6 ) Kreatif mencipta suasana yang harmoni dan tenang dalam rumah tangga.

7 ) Sekiranya ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis semasa bercinta dan berbulan madu.

8 ) Kenangkan jasa dan susah payah isteri mengandung dan melahirkan anak.

9 ) Sekiranya berlaku penceraian (bagi pasangan Islam untuk talak satu dan dua saja) jangan mudah menghalau isteri keluar dari rumah sebelum habis edah kerana mungkin
suami isteri berminat untuk bersatu kembali (rujuk).

10 ) Suami kena lebih mesra dengan keluarga mentua kerana sekiranya rumah tangga menghadapi masalah, ibu bapa mentua boleh membantu dari segi nasihat.

11 ) Suami jangan tumpu perhatian yang berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.(fikirkan)

12 ) Isteri jangan lebih banyak masa menyibukkan diri dengan dunia luar, seperti aktif dengan kegiatan persatuan, berpolitik atau terbabit dengan jualan langsung.

13 ) Sentiasa berlembut dari segi percakapan, layanan kepada pasangan dan pergaulan sesama ahli keluarga.

14 ) Isteri perlu berhias lebih kepada suaminya berbanding apabila keluar rumah.

15 ) Menjawab setiap pertanyaan suami dengan lembut.

16 ) Pasangan tua, terutama isteri jangan terlalu rapat dengan cucu, tidur dengan cucu dan tinggalkan suami tidur sendirian.

17 ) Sekiranya ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri.

18 ) Fahami dan hayati sifat pasangan dan anak-anak. Suami disifatkan seperti matahari sentiasa panas, isteri bulan; cantik, lembut dan indah dipandang, manakala anak-anak pula umpama bintang iaitu sifatnya sebagai penghibur dalam rumah tangga.

19 ) Suami isteri perlu mengekalkan sifat romantis dan sentiasa berhati muda walaupun masing-masing sudah berusia.

20 ) Anak-anak jangan dipaksa mengikut telunjuk dan kehendak ibu bapa tetapi beri mereka pilihan yang sesuai tetapi sentiasa awasi mereka.!

21) Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya. Sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian.

22 ) Keluarga Islam, pastikan sekurang-kurangnya dua waktu sembahyang berjemaah bersama-sama ahli keluarga – merapatkan hubungan dan kemesraan.

23 ) Jangan beri ahli keluarga makanan yang tidak halal atau diragui kehalalannya kerana bermula dari makanan membentuk air mani dan melahirkan generasi seterusnya.

10 Nasihat Untuk Suami Dalam Memahami Hubungannya Dengan IsterI


1. Bersikap Tegas dan Lemah-lembut Terhadap Isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalulanya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi “boss”. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi Pujian Terhadap Isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepadapasangannya, “Adakah engkau cinta padaku? ” Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan Batas Tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suamiberkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

4. Menghindari Kritikan Terhadap Isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada  isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya iaitu:

  • Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah.
  • Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada perasaan kecewa dan tekanan batin.
  • Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama.
  • Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirinya sendiri.
  • Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak.
  • Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan perceraian.

5. Memperhatikan Sesuatu Yang Romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita,hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami Isteri Yang Ingin Selalu Di Samping Suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga Perasaan Aman Dalam Kehidupan Isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami Gelora Jiwa Isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya,maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai org yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina Kerjasama Yang Baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi Keperluan Peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.


Peringatan Buat Suami


Alhamdulillah, bahagia rumahtangga sekiranya ia menjadi amalan.

Yang penting, jangan asyik cari salah isteri.

Bila kita melihat sesuatu dari kaca mata negatif, tentu keburukan isteri yang menyusahkan hati.

Tukar perspektif kepada yang positif bagi mendorong ke arah keharmonian. Bukan ke arah kecelaruan.

Kalau betul isteri telah melakukan salah, tegur  dan nasihat dengan cara berhemah.

Tentu sekali masalah tidak selesai jika dituduh pula isteri "degil".

  • Tak dengar kata.
  • Keras hati.
  • Ataupun sifat negatif lain yang sewaktu dengannya.

Hanya sekadar melepaskan marah atas silap si isteri.

Pasti sang syaitan bertepuk tangan kerana bisikannya berjaya meretakkan keharmonian si Adam dan Hawa.

Kerak nasi lagikan lembut, inikan pula hati wanita.

Pasti ada penyelesaian untuk setiap masalah.

Muhasabah diri dan minta petunjuk dari Allah.

Suami yang hebat adalah suami yang berjaya menolak bisikan syaitan.

Juga memimpin tangan isteri ke arah kebenaran dan jalan Allah.

Pasti, isteri yang baik juga tahu membezakan dosa dan pahala.

Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.

Itu janji Allah.


6 Asas Rumahtangga Bahagia


Oleh: USTAZAH SITI NOR BAHYA

STATISTIK menunjukkan di Barat hampir 90 peratus rumah tangga berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah SWT.

Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku di negara ini apabila makin ramai yang membina rumah tangga dengan hanya mengikut nafsu dan tidak berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.

Sebenarnya senario semakin membimbangkan ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes perceraian yang dilaporkan meningkat hari demi hari. Malah mengikut purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) seramai 77 pasangan Islam bercerai setiap hari.

Jumlah perceraian yang boleh dikategorikan kritikal ini mendorong penceramah motivasi terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah berkongsi asas-asas untuk membina rumah tangga bahagia bersempena ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Asas 1

Menurut Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?

Bagi isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.

Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.

"Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran," tambah Wan Akashah pula.

Asas 2

Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.

"Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan 'abang sayang, cuma tak tunjuk saja' maka itu tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk," tambah Siti Nor Bahyah pula.

Sebagai ibu, haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.

"Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang menggembirakan hati isteri," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas 3

Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.

Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.

"Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak mulia," jelasnya.

Asas 4

Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.

"Anak adalah amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai isteri," tambahnya.

Asas 5

Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.

"Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas 6

Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa. "Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita pasti bahagia," ujarnya.